JAKARTA – Gara-gara gagal membendung rasa cemburu, seorang suami di Kota Kendari, wilayah Sulawesi Tenggara menikam lelaki yang menghantar isterinya pulang ke rumah dengan menaiki motosikal, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Kejadian berlaku sekitar tengah malam semalam.
Suspek yang hanya dikenali sebagai SD, dilaporkan ‘menangkap’ isterinya pulang ke rumah dengan membonceng motosikal yang ditunggang mangsa, MR.
Suspek cemburu melihat isterinya membonceng motosikal lelaki lain, lantas tidak dapat menahan amarahnya.
Ketua Polis Bandar Kota Kendari, Muh Eka Fathurrahman berkata, suspek nekad menikam mangsa kerana tidak dapat berfikir secara rasional.
“Pelaku cemburu terhadap mangsa kerana menghantar isterinya pulang di Lorong Veteran menggunakan motosikal.
“Mangsa kini dirawat di Hospital Bhayangkara kerana mengalami kecederaan pada lutut kiri,” katanya.
Sementara itu, suspek telah ditahan polis bagi membantu siasatan. – AGENSI