PETALING JAYA – Kerajaan Perpaduan berazam untuk memajukan Kelantan sekiranya berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyatakan keazaman itu di hadapan ribuan hadirin Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Machang.
“Sayugia, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting dalam memastikan kebajikan rakyat terus terjaga dan terbela.
“Inilah masanya untuk rakyat Kelantan perlu bangkit, percaya dan yakin dengan hasil kerja yang dilakukan Kerajaan Perpaduan demi kemajuan mereka,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh Pas sejak tahun 1990 antara enam negeri akan mengadakan PRN secara serentak pada 12 Ogos ini.
Negeri lain akan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing dalam PRN tersebut adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos. – KOSMO! ONLINE