KUALA LUMPUR – Sebanyak 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disasarkan menyertai Kempen Mesra Peniaga anjuran Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Kempen tersebut merupakan kolabrasi antara PPZ-MAIWP bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, inisiatif itu yang memberi tiga kelebihan utama kepada golongan PKS bertujuan bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.
“Kempen ini berlangsung selama tiga bulan bermula 24 Julai sehingga 24 Oktober depan dan terbuka kepada PKS yang menunaikan zakat perniagaan di PPZ-MAIWP dengan bayaran bermula RM100 sehingga RM7,000.
“Antara kelebihan yang bakal dinikmati termasuk pendaftaran perniagaan melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) dan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) serendah RM46.60 setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Mesra Peniaga di Wisma PPZ-MAIWP, di sini hari ini.
Abdul Hakim berkata, peniaga juga bakal menerima manfaat pembiayaan Mikro iTekad Maju daripada BIMB bermula RM10,000 sehingga RM50,000.
“Bagi setiap permohonan yang berjaya, mereka akan diberikan sesi induksi, latihan dan bimbingan perniagaan,” ujarnya.
Justeru, kata Abdul Hakim, pihaknya berharap kempen terbabit dapat memberi manfaat kepada golongan PKS selain memperoleh keberkatan atas zakat yang dilaksanakan.
“Ini juga antara usaha kami dalam menyebar dakwah dan memberi galakan kepada golongan PKS yang mungkin belum layak untuk mula membayar zakat disamping menikmati kelebihan yang disediakan.
“Inilah manisfestasi sebenar Mesra Niaga sebagai tanda sokongan PPZ-MAIWP kepada peniaga untuk membawa perniagaan daripada mikro hingga ke makro,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE