PETALING JAYA – Seorang ibu melahirkan rasa terkilan dan kecewa selepas terpaksa memberhentikan anaknya yang berusia 11 tahun dari persekolahan selepas kesihatan semakin merosot.
Berdasarkan hantaran daripada TikTok Nisaa Haswan, anaknya Mohamad Nur Iman Ramadhani menghidap penyakit adrenoleukodystrophy atau gangguan saraf otak.
“Sedihnya hari ini pergi sekolah untuk memberhentikan Iman sebab dia memang tak boleh sekolah lagi. Kalau awak masih sekolah awak akan berada di sini.
“Berat tetapi kena teruskan juga. Semoga Iman ada rezeki untuk bersekolah semula,” jelasnya.
Tambahnya, Nur Iman merupakan antara pelajar aktif dan pernah menjuarai acara lumba lari di sekolah namun sekarang tidak dapat bercakap, mendengar serta telah hilang deria penglihatan.
“Sebagaimana ibu abah tidak pernah berputus asa, begitu juga awak Iman. Semangat dan kekuatan awak luar biasa,” ulasnya di ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai berkongsi rasa kasihan dan simpati dengan keadaan terkini anak wanita itu.
“Insya-Allah nanti sihat, boleh sekolah semula ya. Semoga Allah kurniakan kesihatan untuk adik,” komen Shajamilah.
“Ya Allah sedihnya ujian untuk adik Iman sekeluarga. Moga dipermudahkan segala urusan,” kata Watie. – KOSMO! ONLINE