fbpx

Graduan genggam ijazah Doktor DBA pada usia 86 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan kepada Mohd. Tahir pada Majlis Konvokesyen UUM ke-35, di Sintok semalam. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

SINTOK – Usia tidak menjadi penghalang kepada graduan tertua, Dr. Mohd. Tahir Ahmad, 86, untuk menggenggam ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-35, di sini semalam.

Lebih manis apabila Mohd. Tahir yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan menerima ijazah tersebut daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sultan Sallehuddin yang juga Canselor UUM berkenan berangkat mengisytiharkan sesi pertama konvokesyen pada semalam seterusnya mengurniakan ijazah kepada graduan.

Mohd. Tahir berkata, beliau bersyukur kerana berjaya memperoleh ijazah DBA, meskipun pada usia lanjut.

“Saya gembira dan rasa puas apabila akhirnya berjaya memperoleh DBA. Ia membuktikan bahawa usia tidak menjadi masalah untuk kita mencapai sesuatu kejayaan.

“Ada orang kata dah tua buat apa belajar lagi, namun bagi saya pembelajaran secara berterusan ini dapat mengelakkan fikiran menjadi kosong,” ujarnya.

Katanya, antara cabaran yang terpaksa dihadapinya sepanjang pengajian adalah apabila perlu menggunakan komputer untuk subjek berkaitan statistik.

“Saya rasa cukup susah tetapi saya usahakan juga disebabkan minat untuk belajar sangat mendalam. Selepas ini saya mahu cabar diri untuk menguasai bahasa Mandarin pula,” jelasnya.

Tambahnya, dia mengamalkan pemakanan ulam-ulaman untuk kekal sihat daripada segi fizikal dan juga mental. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI