PETALING JAYA – Pelakon terkenal Fasha Sandha menegaskan kecantikan dan bentuk badannya yang kurus ketika ini jauh berbeza jika ingin disamakan dengan anak patung Barbie.
Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 39, berkata, dia perlu menjalani diet ketat sejak Oktober tahun lalu dan berjaya turun sebanyak 18 kilogram (kg).
“Tidaklah sampai kelihatan seperti Barbie. Sekarang badan rasa lebih ringan untuk bekerja,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas mengenai kritikan mengenai tubuhnya yang terlalu kurus, ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, penurunan berat badan juga salah satu caranya mengelakkan daripada menghidap pelbagai penyakit.
“Saya sedar mengenai komen yang minta jangan kurus sangat, nanti nampak sakit. Ada juga yang ketika jumpa saya, mereka risau dan bertanya kenapa kurus, ada penyakit ke? Sejujurnya saya tidak sakit pun,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Fasha Sandha berkata, dia juga ‘dipaksa’ pihak produksi untuk mendapatkan berat badan yang lebih kurus berbanding sebelum ini bagi menjayakan watak Datin Safieya untuk drama Rampas Cintaku musim kedua.
“Tentang kurus, semuanya termaktub dalam kontrak. Musim pertama drama ini, Datin Jane Lim dari Metrowealth Picture pesan pada saya untuk kurus kalau ada rezeki untuk musim kedua sebab tidak mahu watak Datin Safieya nampak berisi lagi.
“Ketika itu saya terasa juga dengan pesanan tersebut tetapi jadikannya pembakar semangat untuk turun berat badan bagi musim kedua,” jelasnya.
Sejak beberapa bulan lalu, penampilan bintang filem Anak Halal itu kerap menjadi perhatian ramai kerana bentuk badan yang langsing dan disamakan seperti watak Barbie, Luna Maya dan Kareena Kapoor. – KOSMO! ONLINE