PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika melintas di Jalan SS 9A/8, Sungai Way, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 7.27 malam.
Menurut beliau, kemalangan pada pukul 5.30 petang itu membabitkan seorang kanak-kanak warga asing dan sebuah SUV jenis Nissan X-Trail.
“Semasa kenderaan melalui lokasi kejadian, mangsa tiba-tiba melintas jalan menyebabkan SUV tersebut tidak sempat menekan brek lalu merempuh kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, pihaknya menahan pemandu SUV tersebut di lokasi kejadian sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana saksi yang melihat kejadian kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Navalan Ravndran di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” katanya – KOSMO! ONLINE!