PETALING JAYA – Seorang lelaki berkongsi momen duka apabila bapanya tidak dapat menahan rasa sedih sehingga menangis selepas kucing kesayangan mati.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @mattop_55di akaun TikToknya, bapanya berkali-kali mengucapkan maaf ketika mengebumikan bangkai haiwan itu.
“Kucing kesayangan abah pergi untuk selamanya. First time (pertama kali) tengok dia nangis macam ni. Dia juga banyak kali minta maaf sambil kebumikan Louis,” tulisnya.
Difahamkan, bapanya bukanlah seorang pencinta kucing namun sifat manja yang ada pada Louis berjaya menambat hati.
“Abah sebenarnya tak suka kucing tapi dia tiba tiba suka Louis dan dia pernah cakap kalau Louis tak ada, dia tak nak bela kucing lain sebab Louis manja tak macam kucing yang lain,” ujarnya di ruangan kapsyen.
Sehingga kini, video tersebut mendapat 924,500 tontonan, 89,000 tanda suka dan 5076 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang turut berkongsi rasa duka dan simpati dengan kehilangan haiwan kesayangan.
“Menangis tengok video ini sebab kucing saya baru juga mati bulan lepas. Warna bulu dia sama dengan kucing saya, rasa macam tengok kucing saya,” kata Ren.
“Sakit rasa kehilangan kucing tetapi bila tengok video ini aku terfikir bapa aku. Jauhkan dia rasa kehilangan kucingnya ya Allah,” tulis Nurul Syazwani. – KOSMO! ONLINE