SEREMBAN – Perbicaraan hari pertama kes amang seksual melibatkan pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman yang bersambung petang ini dikejutkan dengan pendedahan ibu mangsa yang mendakwa tertuduh meminta anak lelakinya melumur minyak pada alat sulit remaja lelaki itu.
Saksi ketiga yang berusia 45 tahun memaklumkan demikian di hadapan Hakim Datin Surita Budin dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Suri rumah itu memberitahu, anak keduanya yang berusia 18 tahun menceritakan sendiri kejadian tersebut kepadanya yang mana kejadian berlaku pada 5 Februari 2022 di rumah PU Azman di Seremban.
Katanya, dia mengetahui perbuatan PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 42, selepas didedahkan dalam satu pertemuan yang diaturkan oleh guru sekolah anaknya dikenali sebagai ‘Ustazah’ pada 27 Ogos 2022.
Pertemuan itu diadakan di sebuah hotel di Shah Alam yang mana pendakwah bebas Firdaus Wong turut hadir bersama.
Selain itu, saksi ketiga itu memberitahu, PU Azman berhasrat menjadikan anaknya sebagai anak angkat dan ia diketahui melalui perbualan tertuduh dan anak lelakinya di WhatsApp.
“Anak saya kata nak pergi rumah PU Azman saja-saja. Dalam perbualan WhatsApp dia nak jadikan anak saya sebagai anak angkat.
“Mulanya saya tidak percaya sebab PU Azman seorang selebriti, tetapi anak saya meyakinkan untuk pergi ke rumahnya,” katanya.
Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik itu mula berhenti sekolah kerana berasa tertekan dengan kejadian berlaku malah turut meminta agar tidak diganggu.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd. Nasir.
Terdahulu, saksi pertama jurufoto Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Lans Koperal Mohd. Nor Arif Mohd., 38, telah memberi keterangan dan mengemukakan gambar tempat kejadian dan barang rampasan yang dirakam iaitu permaidani dan satu botol.
Seterusnya, saksi kedua merupakan bapa kepada salah seorang mangsa sama berusia 54 tahun memberi keterangan berhubung kejadian yang berlaku pada anaknya.
Pada 12 Oktober 2022 , PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.
Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai tahun lalu.
Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang. -KOSMO! ONLINE.