PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang telah kembali ke Rahmatullah semalam.
Turut menzahirkan ucapan sama adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah menerusi satu kenyataan di laman Facebook Istana Negara hari ini.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga sabar, tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
“Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara,” kata Istana Negara.
Allahyarham Datuk Seri Salahuddin yang lahir pada 1 Disember 1961 pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari tahun 2018 hingga 2020.
Beliau merupakan Ahli Parlimen Pulai dari tahun 2018 telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian dari tahun 1981 hingga 1983. – KOSMO! ONLINE