TEKAN tubi merupakan satu bentuk aktiviti kecergasan yang sering dilakukan oleh semua orang.
Namun begitu, tidak semua peminat aktiviti kecergasan mampu melakukan tekan tubi dalam tempoh yang lama.
Namun, tidak bagi peminat aktiviti kecergasan dari Australia, Daniel Scali, 30, apabila dia berjaya merampas semula rekod dunia tekan tubi terbanyak dalam tempoh sejam.
Scali berjaya melakukan 3,249 tekan tubi dalam tempoh sejam, sekali gus memecahkan rekod terdahulu sebanyak 3,206 kali yang dilakukan oleh Lucas Helmke juga dari Australia pada November tahun lalu.
Namun lapan bulan sebelum itu, Scali telah mencipta rekod dunia dengan melakukan 3,182 tekan tubi.
Mengikut garis panduan Guinness World Record, bagi mencipta rekod itu, satu tekan tubi lengkap terdiri daripada rutin di mana badan perlu diturunkan sehingga sekurang-kurangnya pada sudut 90 darjah daripada siku.
Kemudian, badan perlu dinaikkan sehingga lengan lurus dan dada tidak perlu menyentuh lantai.
Dalam pada itu, apa yang mengagumkan, Scali berjaya melakukannya meskipun mengalami complex regional pain syndrome (CRPS), di mana lengan kirinya mengalami kesakitan berterusan.
Dia berhadapan dengan sindrom itu sejak berumur 12 tahun apabila terjatuh dari trampolin sehingga menyebabkan lengan kirinya patah teruk.
“Sindrom ini adalah keadaan di mana otak menghantar mesej yang salah ke lengan saya.
“Jadi, apa-apa sentuhan lembut seperti pergerakan angin, air akan menyebabkan ia sakit,” katanya.
Oleh demikian, Scali memakai pita mampatan di lengan kirinya untuk mengurangkan kesakitan yang teruk.
Namun, ia masih menjadi halangan besar untuk diatasi bagi percubaan memecahkan rekod tersebut.
Semasa memecahkan rekod tekan tubi itu, lengannya menjadi lebih sakit sekitar lapan minit.
“Saya mula rasa sakit dari bahagian atas bahu sehingga tangan.
“Malah, saya terpaksa membongkok dan meregangkan tangan saya untuk melegakan kesakitan itu,” katanya.
Scali menggunakan ‘visualisasi’ untuk membantunya mengatasi kesakitan.
Semasa rehat enam saat yang diambil antara set, dia akan memvisualisasikan badannya.
Scali juga menggunakan teknik pernafasan semasa di set ganti, di mana dia akan menyedut sebanyak mungkin udara melalui hidungnya sebelum ‘menghembus kesakitan’ melalui mulutnya.
Sementara itu, Scali berkata, dia tidak melakukan banyak perbezaan dalam persediaan untuk percubaan rekod itu berbanding percubaannya sebelum ini.
“Satu-satunya perkara yang berbeza adalah latihan burpees,” jelasnya.
Burpees merujuk satu latihan kecergasan yang melibatkan pergerakan badan dari bawah ke atas.
Scali juga berjaya memecahkan rekod terbanyak untuk rutin tersebut dalam tempoh sejam.
Untuk rekod itu, Scali telah melakukan sebanyak 990 burpees yang kemudiannya dipecahkan oleh Tommy Vu dari Amerika Syarikat dengan 1,002 kali.
Namun begitu, Scali mendapat manfaat besar daripada latihan burpees itu yang membawanya ke tahap baharu bagi cabaran tekan tubi.
“Ia meningkatkan kecergasan saya ke satu tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Bukan itu sahaja, ia membantu saya menangani kesakitan,” katanya.
Dalam pada itu, Scali menjelaskan, bahagian yang paling sukar untuk cabaran itu adalah mental.
Dia perlu menerima hakikat bahawa jumlah tekan tubi yang dilakukannya semasa perkiraan rasmi tidak dapat mengatasi angka yang pernah dicapainya semasa latihan sebelum ini.
“Sebenarnya ketika melakukan latihan, saya dapat mencatat angka tekan tubi yang lebih banyak.
“Namun pada hari percubaan rasmi, tekanan datang dan ia memerlukan ketenangan yang mengambil sedikit tenaga saya,” terangnya.
Bagaimanapun, Scali masih mampu mencapai bilangan tekan tubi yang mengejutkan.
Secara purata, dia melakukan lebih 54 tekan tubi dalam seminit.
Dalam pada itu, Scali juga sedang berusaha untuk memecahkan lebih banyak rekod aktiviti kecergasan pada tahun ini.