fbpx

Pulau peranginan Greece terbakar, 30,000 orang dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelancong keluar beramai-ramai dari hotel ketika kebakaran hutan semakin marak di Pulau Rhodes, semalam. - AFP

ATHENS, GREECE – Pelancong di Pulau Rhodes, Greece, diarah mengosongkan sebahagian lokasi peranginan popular itu semalam, selepas tercetusnya kebakaran hutan yang merebak di luar kawalan, lapor akhbar The Sun.

Dalam kejadian itu, sehingga 30,000 penduduk tempatan dan pelancong bergegas menyelamatkan diri ketika api semakin marak kerana ditiup angin kencang.

Rakaman insiden luar biasa itu memaparkan sejumlah besar orang membawa bagasi masing-masing ketika cuba melarikan diri daripada kebakaran di Kiotari dan Lardo bagi menuju ke bahagian tenggara pulau tersebut.

Kebakaran itu merebak ke sebahagian besar hutan sejak ia mula tercetus di sebuah kawasan pergunungan, Selasa minggu lalu.

Api kemudian merebak ke sekurang-kurangnya tiga buah hotel di perkampungan tepi laut di Kiotari, semalam.

Sementara itu, kapal Pengawal Pantai dan lebih 20 bot persendirian menyertai operasi untuk memindahkan sebahagian besar pelancong dan penduduk tempatan di pulau tersebut.

Kira-kira 10,000 orang dipercayai telah dipindahkan, demikian menurut laporan tempatan.

Anggota bomba tempatan yang turut dibantu oleh pesawat pemadam kebakaran dari Slovakia menghadapi kesukaran mengawal api ekoran cuaca berangin.

Jurucakap perkhidmatan bomba tempatan berkata, lebih 200 anggota dan 40 jentera menangani kebakaran itu bersama tiga buah pesawat serta lima helikopter.

“Kami dipindahkan beberapa jam lalu. Hotel terbakar. Kami kini berada dalam keadaan selamat di sebuah hotel lain pada masa ini. Tiada liputan telefon dan tiada akses berita. Harap semua orang dipindahkan dengan selamat,” kata seorang pelancong dari Britain. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI