fbpx

PRN: Wujud gelombang biru di Kelantan – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) bersama pesara pada Program Silaturahim Ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia di Dewan Datuk Ariffin Said di Ibu Pejabat Kesedar, Gua Musang, hari ini. Foto AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dijangka akan membawa perubahan pembangunan di negeri Kelantan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, wujud gelombang biru daripada rakyat di Kelantan ketika ini yang mahukan perubahan pentadbiran.

“Saya lihat gelombang biru sedang menggunung di Kelantan. Cara dan kaedah berkempen, kita tidak akan membelasah seteru politik dan memaki hamun, namun memberi tawaran kepada sebuah negeri itu agar semua bersama Kerajaan Persekutuan.

“Di Kelantan khususnya, pelbagai peruntukan diberikan termasuk peruntukan bagi bekalan air dan bantuan tebatan banjir. Negeri ini juga berpotensi menerima pelaburan dari luar,” katanya kepada pemberita selepas Program Silaturahim Ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia di Dewan Datuk Ariffin Said di Ibu Pejabat Kesedar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, sebanyak 63 peratus calon muka baharu dan 18 peratus penyandang daripada BN diletakkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diyakini mampu memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

“Prinsip kami adalah untuk menghidangkan muka-muka baharu untuk anak muda. Selain itu, turut ada keperluan untuk kesinambungan dan kombinasi antara muka lama dan baharu.

“63 peratus calon muka baharu dan 18 peratus mereka yang penyandang manakala selebihnya calon dianggap daripada tokoh-tokoh yang memberikan tawaran untuk berkhidmat semula,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, daripada 108 calon daripada muka baharu, lebih 85 peratus daripadanya merupakan lulusan akademik dan mempunyai kelulusan profesional. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI