KUALA SELANGOR – Kakitangan Jabatan Penerangan di seluruh negara diingatkan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti politik kepartian sepanjang kempen enam Pilihan Raya Negeri (PRN), termasuk pemakaian baju berlogokan mana-mana parti.
Tegas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, keadaan itu bagaimanapun tidak menunjukkan bahawa jentera kerajaan ‘bercuti’ sepanjang tempoh lebih 14 hari ini.
“Tugas hakiki bagi jentera itu (Jabatan Penerangan) perlu diteruskan dalam menyampaikan dasar dan pencapaian kerajaan tanpa terlibat dengan sebarang politik kepartian’. Surat pekeliling tidak dikeluarkan namun ia lebih kepada arahan am.
“Selain itu, mungkin ada kerja lebih masa kepada kakitangan Jabatan Penerangan kerana ini adalah tempoh tempoh pilihan raya, namun saya tidak pasti sama ada cuti mereka dibekukan atau sebaliknya setakat ini,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Madani 2.0 Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Dewan Terbuka Taman Desa Mawar, Tanjong Karang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pencapaian internet di Selangor setakat ini mencapai 99 peratus berdasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
“Pengukuran itu bagaimanapun berdasarkan capaian sekurang-kurangnya satu menara. Saya telah meminta SKMM merangka semula supaya sekurang-kurangnya satu kawasan ada tiga atau empat syarikat telekomunikasi,” katanya.-KOSMO! ONLINE