BUKIT GANTANG – Bekas pemandu keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya berjaya dipujuk untuk menetap di Rumah Seri Kenangan Taiping hari ini.
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Muhammad Arafat Varisai Mahamad berkata, beliau telah dihubungi oleh Anwar setelah mendapat tahu bekas pemandu yang pernah berkhidmat dengan keluarganya selama 11 tahun, Saleh Ibrahim Kamaruddin, 58, pernah diserang angin ahmar serta mempunyai penyakit kencing manis.
“Setelah Anwar dan isterinya tahu tentang keadaan bekas pemandu mereka, maka kedua-duanya telah menghubungi saya untuk membantu menguruskan segala keperluan dan kebajikannya.
“Setelah bertemu dengan Saleh dan menerangkan kepadanya maka dia bersetuju untuk tinggal di rumah Sri Kenangan di Taiping,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi Saleh Ibrahim di kediamannya di Kampung Cheh di sini hari ini.
Muhammad Arafat berkata, Saleh juga merupakan bekas ketua kampung di Kampung Cheh semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selama 22 bulan.
“Dia (Saleh) menghidap penyakit kencing manis dan pernah diserang angin ahmar sejak dua tahun lalu.
“Memang ada ahli keluarganya iaitu abang kandungnya yang menjaga dan menguruskan kehidupannya selama ini, namun dalam keadaan usia abangnya juga telah menjangkau lebih 60 tahun, sudah tentu agak sukar untuknya menjaga Saleh Ibrahim dengan sempurna,” katanya.
Tambah Muhammad Arafat, wang tunai sumbangan Anwar serta keluarganya turut disampaikan kepada Saleh Ibrahim di samping beberapa bantuan untuk keperluannya di masa hadapan.
Sementara itu, abang Saleh Ibrahim, Abdul Mutalib Kamaruddin, 61, berkata, dia amat bersyukur dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta itu ke kediamannya serta berjaya memujuk adiknya tersebut.
“Saya rasa amat bersyukur diatas keprihatinan PM serta keluarga dan Adun Hulu Kinta yang mengambil berat urusan kebajikan adik saya ini.
“Yang pentingnya kini, adik saya ditempatkan di Rumah Sri Kenangan Taiping yang mempunyai segala kemudahan dan kelengkapan termasuk pusat rawatan bagi merawat penyakitnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE