KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum menekan butang panik dan optimis dengan penganjuran Pestabola Merdeka yang dijadual pada Oktober nanti masih boleh dilakukan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd. Firdaus Mohamed yang melihat proses baik pulih padang SNBJ masih berjalan seperti yang dijadualkan.
Kata Mohd Firdaus, berdasarkan laporan yang diberikan oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), kerja pemasangan rumput akan dimulakan awal Ogos dan masih sempat untuk matang sebelum penganjuran bermula.
“Kerja-kerja pemasangan rumput hanya akan dimulakan pada Ogos nanti dan kita yakin dengan PSM bahawa jaminan agar rumput cukup matang sebelum Oktober pada penganjuran Pestabola Merdeka nanti,” katanya ketika ditemui.
Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus yang juga Naib Presiden FAM mengakui ada beberapa alternatif yang sudah dirangka oleh badan induk bola sepak negara andai SNBJ tidak sempat untuk digunakan nanti,
Mohd. Firdaus berkata, ada satu atau dua stadium yang boleh dijadikan sebagai venue penganjuran tetapi buat masa ini pihak persatuan masih belum serius ke arah tersebut.
“Kita ada satu ke dua stadium yang dikenalpasti sebagai venue alternatif. Mungkin di Pulau Pinang tetapi buat masa ini kita belum ke arah tersebut dan fokus dengan SNBJ,” katanya.
Malaysia dijadual menjadi penganjur Pestabola Merdeka membabitkan saingan empat penjuru termasuk India, Palestin dan Lebanon – KOSMO! ONLINE