PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa dengan sikap dan layanan sebahagian kakitangan sebuah syarikat air di Kelantan.
Ini kerana dakwa lelaki tersebut, semua panggilan dan mesej yang dibuat ke pejabat dan kakitangan syarikat tersebut langsung tidak dibalas.
Malah lebih mengecewakan katanya, ketika kunjungan ke pejabat syarikat air itu di Pasir Mas mendapati tiada seorang kakitangan di kaunter walaupun masa bekerja bermula pukul 8 pagi.
“Pukul 9.13 masih tutup, padahal waktu kerja 8 pagi. Ambo (saya) masuk tunggu dalam 10 minit baru keluar seorang staf tapi bukan yang jaga kaunter.
“Nak semak detail report (laporan) tak boleh staf jaga kaunter cuti. Boleh dia tinggal kaunter kosong, teruk sungguh servis (perkhidmatan) syarikat air ini,”luahnya kecewa.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna turut berkongsi kisah sama yang mereka hadapi di beberapa cawangan syarikat itu dan mahu tindakan segera diambil oleh pengurusan syarikat bagi menangani isu berkenaan.
“Harap dengan viral pos ni , efektif la sikit yang kerja Air Kelantan tu. Lama sudah Kelantan kita bermasalah dengan air walaupun banyak sumber air. Singapura yang ambil air dari Malaysia pun tak seteruk kelantan,” tulis Norma Kamarudin.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Biskut Riang.
“Macam manalah nak maju, kalau cara kerja macam ni. Bagus viral pasal ni, kalau tidam ramai orang tak tahu,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE