fbpx

Pemergian Salahuddin kehilangan terbesar saya – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dimuat naik oleh Anwar di Facebooknya.

PETALING JAYA – Pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan kehilangan terbesar buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi kenyataan di akaun Facebooknya, Anwar terkesan dengan pemergian Salahuddin yang juga merupakan seorang sahabat setia bersamanya.

“Saya amat terkesan tatkala Menteri KPDN dan juga seorang sahabat yang setia, Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub telah pergi dijemput Allah, hari ini.

“Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga. Saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat.

“Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi,” tulisnya.

Tambah Anwar, Salahuddin dikenali kerana mempunyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan.

“Allahyarham juga merupakan sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab. Berehatlah, sahabatku.

“Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” ujarnya.

Berita duka pemergian Salahuddin dimaklumkan sendiri oleh anak beliau di laman Facebooknya, Fatihah Salahuddin kira-kira pukul 9.23 malam ini.

“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” tulisnya.

Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal, memaklumkan jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, Salahuddin disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Beliau yang disahkan mengalami pendarahan dalam otak telah ditidurkan selepas selamat menjalani pembedahan di hospital tersebut hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI