fbpx

Peguam tawar khidmat sukarela kepada artis, penganjur Festival Good Vibes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Festival Good Vibes 2023.

PETALING JAYA – Sebuah firma guaman, Managing Partner of Thomas Philip menawarkan khidmat guaman secara sukarela (pro bono) kepada semua artis dan penganjur yang terkesan pada Festival Good Vibes kelmarin.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook oleh individu yang dikenali sebagai John Lau, tawaran itu diberikan oleh salah seorang rakannya yang juga peguam di firma guaman tersebut.

“Dia (Mathew Thomas Philip) sanggup mewakili mereka dalam tindakan menentang The 1975. Hubungi dia dan pasangannya Tjun Tjunnie yang juga kawan rapat saya.

“Bagi mereka yang tidak tahu, mereka (Mathew dan Tjun) juga merupakan pemilik studio Drum-Asia dan telah lama menyokong pelbagai jenis muzik. Jangan biarkan aksi satu kumpulan bodoh itu meruntuhkan seluruh dunia muzik,” katanya.

Pada hantaran sama, dia turut menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku semasa kejadian.

“Mengenai persoalan mengapa muzik tidak dihentikan, difahamkan bahawa The 1975 telah membawa masuk pasukannya sendiri dan pengurusan Good Vibes tidak dibenarkan masuk di kawasan kawalan bunyi.

“Selain itu, vokalis The 1975 terkenal dengan aksi gimik beliau yang sering melakukan tindakan melulu dan tidak menghormati undang-undang negara di mana mereka melakukan persembahan. Kejadian sama pernah terjadi semasa The 1975 membuat persembahan di Dubai,” ujarnya.

Tangkap layar peguam yang memberikan khidmat guaman sukarela.

Malah, tambah Lau, semua kumpulan diberi taklimat yang jelas mengenai etika panggung yang dibenarkan oleh kerajaan Malaysia sebelum datang ke Kuala Lumpur.

“Ini adalah dokumen biasa yang ditandatangani oleh artis melalui agensi tempatan kami Puspal. Jadi mereka tahu (apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di Malaysia)

“Ini bukan mengenai perjuangan hak LGBTQ, ia mengenai individu yang tidak bertanggungjawab yang cuba menggunakan negara kita untuk mencari publisiti murahan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil membatalkan serta-merta Festival Good Vibes 2023 (GVF 2023) di Sepang yang sepatutnya berlangsung sehingga hari ini.

Ini kerana, semasa konsert tersebut, The 1975 melakukan aksi tidak senonoh dengan mencium rakan sejantina lelaki iaitu gitaris kumpulannya, Ross Macdonald di atas pentas.

Bukan itu sahaja, vokalisnya turut memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI