PETALING JAYA – Penyanyi kumpulan The 1975, Matt Healy pernah melakukan aksi tidak senonoh yang sama seperti di Festival Good Vibes 2023 dalam sebuah konsert di Dubai pada tahun 2019.
Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khairuddin berkata, tahun lalu, berlaku perkara yang sama dalam salah satu konsert kumpulan itu iaitu North American Tour.
Kata beliau, Malaysia perlu berhati-hati dalam membawa artis luar melakukan persembahan di negara ini terutama mereka yang berideologi lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ).
“Konsert ‘The 1975’ diluluskan oleh Kerajaan Madani Pakatan Harapan-UMNO telah menghina agama, negara dan budaya ketimuran.
“Bukan sekadar bercium, penyanyinya, Matt Healy menyebarkan ideologi liberalnya dan mengkritik undang-undang Malaysia.
“Fahmi Fadzil sebagai Menteri Komunikasi perlu meletak jawatan kerana ini bukan kali pertama Matt Healy berkelakuan sedemikian dalam konsertnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Khairil Nizam berkata, Perikatan Nasional (PN) tetap berpegang teguh pada prinsip agama, bangsa dan negara dan tidak sesekali berkompromi dengan isu-isu sebegini.
“Dan kita berharap seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dengan PN untuk mempertahankannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE