KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) enggan ketinggalan di belakang kuasa-kuasa besar hoki dunia apabila kini menyasarkan pasukan hoki dan lelaki negara layak ke Piala Dunia Hoki 5 Sebelah (5s) 2024.
Ini adalah kali pertama Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menganjurkannya dengan menjadikan Muscat, Oman sebagai tuan rumah kategori lelaki dan wanita dari 24 hingga 31 Januari tahun depan.
Disebabkan itu, MHC kini mempertimbangkan lebih kurang lima calon tempatan untuk menggalas jawatan ketua jurulatih lelaki dan wanita hoki 5s kebangsaan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif MHC, Nishel Kumar menjelaskan, pihaknya kini sedang mempertimbangkan lima calon tempatan untuk menggalas jawatan ketua jurulatih lelaki dan wanita hoki 5s kebangsaan.
Menurutnya, MHC akan menghantar dua pasukan itu menghadapi aksi kelayakan benua Asia yang akan berlangsung di Salalah, Oman bermula 25 Ogos hingga 3 September depan.
“Kita sedar hoki sekarang semakin berkembang. Jadi kita tidak mahu ketinggalan apatah lagi dilihat FIH serius untuk membangunkan sukan hoki 5s dengan harapan kita layak ke Piala Dunia yang pertama kali diadakan nanti.
“Setakat ini kita masih lagi menapis calon-calon dan presiden (Datuk Seri Subahan Kamal) akan mengumumkannya dalam masa terdekat,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.
Kejohanan itu merupakan platform buat MHC memilih pemain-pemain berpotensi menyarung jersi negara ke kelayakan Asia tersebut yang akan dipanggil menyertai kem latihan pada 1 Ogos ini.
Pahang muncul juara bagi kategori lelaki apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-1 menerusi penentuan shoot-out selepas terikat 3-3 pada aksi final semalam, manakala Selangor menjuarai kategori wanita menewaskan Pahang 3-2.
Sebagai rekod, Malaysia pernah meraih pingat emas hoki 5s pada Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina. – KOSMO! ONLINE