FLORIDA – Lionel Messi tidak menunggu lama untuk mempamerkan magisnya apabila meledak gol kemenangan ke atas Cruz Azul 2-1 dalam debutnya bersama Inter Miami pada aksi Piala Liga di Stadium DRV PNK semalam.
Walaupun dimasukkan pada minit ke-54 menggantikan Benjamin Cremaschi, tetapi ia bukan satu masalah besar buat Messi, 36, apabila menjaringkan gol kemenangan Miami menerusi sepakan percuma itu sebelum wisel penamat ditiupkan.
“Saya tahu ia adalah sepakan terakhir, jadi saya harap untuk menjaringkannya supaya mengelak daripada bermain penentuan sepakan penalti.
“Ia tiga mata yang amat berharga kerana ini adalah perlawanan pertama saya di sini. Saya gembira dapat memulakan karier baharu di sini dengan kemenangan,” kata Messi sejurus tamat perlawanan.
Pemilik bersama Miami, David Beckham turut teruja menyaksikan gol daripada pemenang tujuh Ballon d’Or itu yang mengingatkannya ketika eranya sebagai pemain dengan pelbagai gol sepakan percuma sebelum ini.
“Secara jujur saya sudah menjangkakan kemenangan apabila Leo (Messi) mengambil sepakan itu. Ini malam yang sangat indah bukan sahaja buat kelab ini tetapi buat MLS (Liga Major Bola Sepak Amerika Syarikat),” jelasnya.
Dalam aksi itu, Miami yang dikendalikan bekas pengendali Argentina, Gerado Martino terlebih dahulu membuka tirai jaringan melalui Robert Taylor pada minit ke-44.
Lawan dari Mexico itu kemudiannya bangkit mengikat kedudukan hasil jaringan Uriel Antuna kurang 10 minit selepas Miami membawa masuk Messi dan seorang lagi bekas bintang Barcelona, Sergio Busquets.
Harapan Miami untuk merakam kemenangan akhirnya menjadi kenyataan menerusi jaringan sepakan percuma Messi pada penghujung perlawanan. – AGENSI