SHAH ALAM – Kementerian Komunikasi Dan Digital (KKD) memandang serius penularan kandungan media sosial berunsur ugutan.
Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, perkara itu membimbangkan kerajaan dengan tindakan penyedia TikTok menurunkan satu kandungan baru-baru ini, amat dihargai dan tepat.
“Alhamdullillah kandungan tersebut telah diturunkan oleh pihak Tik Tok sendiri dan ia agak merisaukan, memberi bayangan seolah-olah ada tindakan yang kita boleh anggap sebagai cubaan mengugut.
“Kandungan itu meletakkan gambar seorang ahli politik, beberapa gambar di atas peranti dan keliling meja ada beberapa orang yang tegap badannya dan di sudut meja itu terdapat kapak dan keris,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Penubuhan Rasmi Komuniti Madani Negeri Selangor Bagi Zon Tengah (Daerah Petaling, Gombak dan Klang) di Universiti Teknologi Mara UiTM, di sini hari ini.
Tanpa merujuk mana-mana pemimpin, Ahmad Fahmi menganggap ia adalah kandungan media sosial yang sangat tidak sihat.
Sehubungan itu, kata beliau, KKD akan mengadakan pertemuan dengan pihak Bukit Aman bersama agensi terlibat untuk membincangkan perkara tersebut.
“Situasi kita hadapi adalah konten di Tik Tok tiada hashtag ataupun tag yang mudah dicari (untuk rujukan) serta perlu ada sistem yang berbeza buat pemantauan dan pengesahan tag tersebut,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE