fbpx

Jasa, sumbangan Salahuddin dalam Pas sentiasa dikenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster yang dimuat naik Pas di akaun Facebooknya.

PETALING JAYA – Jasa dan sumbangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam Pas meskipun berbeza wadah perjuangan, akan sentiasa dikenang.

Menerusi kenyataan rasmi Parti Islam Se-Malaysia (Pas) di akaun Facebook malam ini, berkata, pemergian ini pastinya menjadi kehilangan besar buat negara.

“Semoga Allah memberikan ketabahan, kemudahan buat seluruh keluarga, mengampunkan dan mencucuri rahmat ke atas Allahyarham.

“Sesungguhnya kematian itu pasti. Tidak Allah cepatkan atau lambatkan walau sedetik. Ampunkan dia, rahmatilah dia dan sejahterakanlah dia Ya Allah,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Salahuddin di atas pemergiannya, pukul 9.23 malam ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Abdul Hadi turut mendoakan agar Allahyarham dicucuri rahmat ke atasnya dan diampunkan segala dosanya.

“Mendapat khabar berita YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah kembali ke rahmatullah malam ini.

“Takziah kami ucapkan kepada seluruh ahli keluarga almarhum. Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” tulisnya.

Berita duka pemergian Salahuddin dimaklumkan sendiri oleh anak beliau di laman Facebooknya, Fatihah Salahuddin.

Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal, memaklumkan jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI