SEBERANG PERAI – Dua buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dilaporkan hampir musnah dalam satu kejadian kebakaran di sebuah bank di Jalan Perusahaan Bukit Tengah, Perai di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.50 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, didapati terdapat dua mesin ATM terbakar dengan anggaran kemusnahan akibat kebakaran masing-masing sebanyak 40 dan 70 peratus.
“Kebakaran bagaimanapun telah berjaya dipadamkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Juru iaitu sebelum ketibaan pasukan bomba dari BBP (Balai Bomba dan Penyelamat) Perai,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, ketika kejadian, tiada mangsa terlibat. Punca kejadian dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan ketika ini. – KOSMO! ONLINE