fbpx

Bomba jalankan siasatan terperinci nahas helikopter di LTSAA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan helikopter terhempas di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

SUBANG JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubungan insiden sebuah helikopter miliknya yang terbabit kemalangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAA), di sini, ketika sesi pengujian enjin dan sistem pesawat.

Siasatan itu turut dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) susulan helikopter model Agusta, AW189 dengan nombor pendaftaran 9M-BOF dilaporkan berlaku kemalangan pada pukul 11.45 pagi, semalam.

JBPM dalam kenyataan berkata, tindakan susulan akan diambil selaras dengan arahan dan prosedur semasa yang berkuat kuasa.

“BSKU juga sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Helikopter tersebut dilaporkan telah ditugaskan untuk menjalani pengujian enjin dan sistem setelah melalui proses selenggara berkala yang ditetapkan oleh pihak pengeluar sebagaimana dalam program selenggaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kemalangan helikopter itu berlaku ketika ia masih belum membuat penerbangan dan keadaan cuaca semasa kejadian adalah mendung, tanpa sebarang halangan di lokasi terbabit.

Tambah kenyataan itu, helikopter berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Penguasa Bomba II Hasrizal Kamaruzzaman (komander pesawat) dibantu oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba Che Muhammad Azlan Che Mohammad (juruterbang) dan Pegawai Bomba Kanan Fua’ad Jamaluddin (air quartermaster).

“Selain itu, seramai empat orang kru penyelenggara dari sebuah syarikat berada dalam helikopter tersebut,” katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa telah mendapat rawatan dan pemeriksaan awal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Semua mangsa tidak mengalami kecederaan kecuali seorang kru penyelenggaraan yang mengadu sakit pinggang dan diarahkan untuk membuat pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan berhampiran.

“Sebaik menjalankan pemeriksaan, kru terbabit dibuat disahkan tidak mengalami kecederaan serius dan dibenarkan pulang,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI