fbpx

Arena Sungai Siput memalukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arena Sungai Siput kini berada dalam keadaan tidak terurus dan mendatangkan kekecewaan kepada penduduk setempat. – FADZIL ZAINOL

SUNGAI SIPUT – Penduduk di bandar ini memohon pihak berkaitan untuk menghidupkan semula Arena Sungai Siput, di sini yang dilihat semakin usang sehingga menyakitkan mata.

Tinjauan Kosmo! Ahad di fasiliti yang terletak di bawah kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) itu mendapati, ia seakan-akan tidak terurus dengan ada kawasan di dewan berkenaan dipenuhi dengan tahi burung.

Bahkan, haiwan seperti kucing juga menjadikannya sebagai tempat tinggal, sekali gus menyumbang kepada masalah kekotoran.

Menurut seorang penduduk, Mohd. Zulhisyam Mokhtar, 43, keadaan Arena Sungai Siput ketika ini hanya menyakitkan mata mereka.

“Pada mulanya memanglah fasiliti itu menjadi antara kebanggaan penduduk Sungai Siput, tetapi lama-kelamaan ia memalukan kami.

“Tak tahulah di mana silapnya sehingga ia tidak lagi digunakan. Sepatutnya banyak acara boleh dianjurkan, tetapi dengan kea­daan itu, saya yakin tiada siapa mahu menjadikan Arena Sungai Siput sebagai lokasi program,” katanya semalam.

Nur Izzati Omar, 39, pula berkata, bahagian dalaman Arena Sungai Siput terutama pentas utama di­lihat kotor dengan najis burung.

Dia juga tidak pasti mengapa arena berkenaan tidak lagi digunakan dan ia satu kerugian buat penduduk setempat.

“Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sana, sekurang-kurangnya kenduri kahwin ataupun program-program rakyat, tetapi kini dibiarkan begitu sahaja seolah-olah sudah ‘mati’,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Dekan Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat Universiti Sultan Azlan Shah, Prof. Madya Suhaimi Saidin mencadangkan agar MPKK menghidupkan semula Arena Sungai Siput dengan me­nerapkan konsep bazar.

“Jadikannya pekarangan arena ini sebagai tapak bazar perniagaan. Konsep itu terbukti berjaya sebagaimana yang dapat dilihat di Kuala Kangsar.

“Fasiliti tersebut tidak memerlukan peruntukan besar untuk dihidupkan semula, cukupkan sedikit dana untuk membaik pulihnya,” katanya.

Tambahnya, keunikan konsep bazar tersebut dipercayai mampu menarik pengunjung ke Sungai Siput selaras dengan Tahun Melawat Perak 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI