fbpx

Allahyarham Salahuddin kawan baik, budiman – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi ketika ditemui pemberita di lobi HSB, Alor Setar, malam ini.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai seorang kawan yang baik dan budiman sejak mengenalinya, 26 tahun lalu.

Katanya, mereka mempunyai hubungan yang rapat meskipun berbeza pegangan politik.

“Saya kawan dengan dia (Salahuddin) lama, beliau pun pernah tidur di rumah saya beberapa kali dan dia seorang yang budiman.

“Selain itu, saya juga biasa naik bas dan jalan kaki dengannya dari Greenwood masuk ke Taman Melewar. Sama-sama tidur di pejabat, banyak kenangan saya dengan saudara Salahuddin,” katanya ketika ditemui di pekarangan lobi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini malam ini.

Katanya, beliau amat menghormati arwah yang turut disifatkan sebagai kawan yang baik dan memahami.

“Malah kami juga sama-sama berasal dari keluarga yang bukan orang senang. Dia pun keluarga susah dan biasa naik bas untuk ke mana-mana,” ujarnya.

Muhammad Sanusi pada masa sama mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Salahuddin dan seluruh ahli Parti Amanah Negara (Amanah) atas pemergian arwah.

“Cuma hidup di dunia ini bila sampai masa, apa yang Tuhan tentukan akan terjadi, terjadilah ia. Harap (keluarga) bersabar.

“Saya bersimpati pada keluarganya dan kebetulan beliau sakit di Kedah ketika melakukan tugasan yang mungkin banyak,” katanya.

Beliau pada masa sama mengucapkan terima kasih atas segala usaha dilakukan arwah dalam menangani isu kenaikan harga barang di bawah KPDN.

Terdahulu, Muhammad Sanusi meluangkan masa selama kira-kira 30 minit untuk menziarahi Salahuddin yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB sebelum Ahli Parlimen Pulai itu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.23 malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI