LONDON – Pemain Tottenham Hotspur, Jamie O’Hara meluahkan kebimbangannya mengenai perancangan kelab tersebut untuk mendapatkan pengganti Harry Kane sekiranya penggempur itu berhijrah.
Laporan di Jerman menyebut, Bayern Munich masih belum berputus asa untuk mendapatkan khidmat Kane terutama apabila pihak pengurusan tertinggi kelab itu percaya mereka mampu menyelesaikan urusan perpindahan tersebut dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Bagaimanapun, laporan di England agak berbeza apabila Pengerusi Spurs, Daniel Levy tidak begitu menggalakkan Bayern atau mana-mana kelab lain untuk mendapatkan Kane dan masih berusaha untuk memujuk pemain itu menerima kontrak baharu yang bakal ditawarkan.
Menurut O’Hara, kebimbangan tersebut mempunyai asas kerana Spurs pernah berdepan situasi sama ketka melepaskan Dimitar Berbatov ke Manchester United pada 2008 ketika saat-saat akhir jendela perpindahan.
“Situasi itu (kehilangan Berbatov tersebut) benar-benar membuatkan kami dalam keadaan kelam-kabut. Kehilangannya menjadi perkara yang besar untuk kelab apabila pengurus ketika itu terpaksa menanggung akibat kerana dipecat ekoran prestasi pasukan merudum.
“Kami berdepan kesukaran tanpa Berbatov dan dia telah pergi ke Manchester United. Dia mahu meninggalkan Spurs untuk ke sana, tetapi ia meninggalkan kesan besar untuk kelab. Perkara itu yang saya bimbang akan berlaku sekali lagi.
“Jika Harry pergi, apa rancangan seterusnya? Bagaimana anda mahu membelanjakan wang? Siapa pemain yang akan dibawa masuk? Saya melihat Levy semakin sukar untuk mempertahankan Kane.
“Harry seorang pemain yang besar dalam pasukan dan Levy berterusan memintanya untuk menerima kontrak baharu. Jika dia enggan, kelab terpaksa melepaskannya dan saya bimbang tentang pengakhiran yang perlu dihadapi Spurs,” jelasnya. – AGENSI