fbpx

Tindakan hentikan persembahan The 1975 perlu dipuji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Nirwandy (kiri), The 1975 (kanan).

PETALING JAYA – Tindakan menghentikan serta membatalkan persembahan kumpulan The 1975, di Good Vibes Festival, Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi, menunjukkan bahawa kerajaan tegas dalam falsafah pembangunan peradaban dan ketamadunan.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tindakan pantas itu persembahan kumpulan tersebut perlu dipuji dan dibanggakan berikutan perlakuan jelik vokalis kumpulan tersebut yang jelas membelakangi dan tidak menghormati rakyat serta perundangan Malaysia.

“Ia menunjukkan kerajaan sangat tegas dalam falsafah pembangunan peradaban dan ketamadunan seperti yang sedang dibina oleh aspirasi Malaysia Madani.

“Penganjur konsert juga dilihat amat peka dengan sebarang perkara yang bertentangan dengan nilai murni budaya negara serta perundangan negara berteraskan identiti Malaysia yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Tangkap layar video persembahan The 1975 yang diambil peminat di Good Vibes Festival, semalam.

Menurut beliau, kejadian kurang sopan sedemikian perlu dipastikan tidak berlaku dalam negara kerana ia berkemungkinan adalah satu percubaan untuk menggugat keselamatan negara dengan mempengaruhi masyarakat secara separa sedar agar menerima ideologi kehidupan keterbukaan mengenai golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) yang sedang meluas di negara Barat.

“Masyarakat negara harus terus mengecam tindakan tersebut dan terus membina minda keselamatan serta lebih tegas untuk menyuarakan bantahan secara diplomasi terhadap insiden tersebut.

“Malahan tindakan ahli kumpulan tersebut yang telah menyelar serta mempertikaikan pegangan tegas kerajaan apabila diarah untuk menghentikan konsert adalah amat dikesali serta perlu dikecam,” tambahnya lagi.

Katanya, penganjur konsert juga harus lebih peka dalam mengkaji nilai budaya serta tingkah laku kumpulan muzik sebelum membawa mereka ke dalam negara.

“Syabas kepada penonton konsert tersebut dari kalangan rakyat Malaysia kerana telah berani bersuara mengecam secara terbuka tindakan kumpulan 1975 yang tidak peka pada peradaban dan ketamadunan negara kita.

“Tindakan mengecam ahli kumpulan tersebut secara beramai ramai adalah lambang kesepaduan rakyat Malaysia dalam menghadapi ancaman keselamatan termasuk percubaan serta pengaruh secara langsung atau tidak langsung yang boleh mengubah pemikiran peradaban serta ketamadunan masyarakat khususnya yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” jelasnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan vokalis kumpulan tersebut, Matt Healy dikatakan telah membuat persembahan sambil memegang botol arak sebelum bertindak menghina undang-undang negara mengenai isu LQBTQ.

Lebih mengejutkan, vokalis kumpulan tersebut juga telah bertindak mencium gitaris, Ross MacDonald sebagai protes terhadap undang-undang anti-gay Malaysia.

Persembahan oleh The 1975 semalam telah dihentikan 30 minit lebih awal sebelum vokalisnya meninggalkan pentas sambil berkata ‘selamat tinggal, kami telah diharamkan daripada membuat persembahan di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI