SHAH ALAM – Polis tidak membuka siasatan mengenai penganjuran Himpunan Daulat Tuanku: Pertahankan Institusi Diraja di hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiada sebarang tindakan atau siasatan dijalankan berikutan himpunan itu disertai kurang daripada 50 orang.
Katanya, polis bagaimanapun melakukan penugasan kawalan keselamatan di lokasi berkenaan dengan kekuatan seramai 80 pegawai dan anggota.
“Pemerhatian mendapati himpunan itu berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekecohan dan bersurai dengan lancar.
“Berikutan itu, kita tidak membuka sebarang siasatan mengenainya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan lebih 100 penyokong BN Selangor dan empat pertubuhan bukan kerajaan menyertai Himpunan Daulat Tuanku dengan dikawal ketat anggota polis.
Pada himpunan itu, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor akan menyerahkan satu memorandum kepada Istana Selangor berkaitan isu kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menghina Sultan Selangor.
Memorandum yang turut disertai beberapa pertubuhan kerajaan (NGO) itu akan diserahkan ke Istana Alam Shah, Klang kira-kira pukul 10 pagi, Isnin depan. – KOSMO! ONLINE