LAPORAN mengenai 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 memang mengejutkan.
Menurut Pakar Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, data-data rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) juga menunjukkan trend yang tidak begitu menggembirakan.
Katanya, didapati hampir setiap tahun secara puratanya sejak lima tahun lalu didapati bilangan murid-murid yang meninggalkan sekolah sebelum tamat pengajiannya adalah sekitar 30,000 ke 33,000 orang.
Ini adalah satu perkara yang membimbangkan kerana keciciran pendidikan ini akan menyebabkan mereka ketinggalan, tidak dapat duduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus menjadikan mereka tidak mempunyai sijil, tahap pengetahuan juga berada pada tahap yang di mana mereka berhenti sekolah.
“Itu adalah sesuatu yang tidak baik untuk masa depan mereka kerana pendidikan masih lagi antara ejen untuk mereka meningkatkan taraf hidup dan juga pendapatan.
“Selain daripada ramai yang keciciran pendidikan, tidak kurang juga yang didapati tidak mengambil peperiksaan SPM kerana disebabkan masalah seperti kemiskinan, tidak bersedia atau tidak mempunyai harapan yang tinggi untuk berjaya dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk tidak menduduki peperiksaan itu walaupun mereka telah menamatkan alam persekolahan,” katanya.
Menurut Anuar, terdapat juga murid yang menamatkan persekolahan, menduduki peperiksaan SPM tetapi mereka gagal mendapat sijil kerana gagal dalam mata pelajaran bahasa Melayu ataupun sejarah.
“Perkara ini menyebabkan mereka juga berhadapan dengan pelbagai masalah untuk meneruskan kehidupan pada masa depan apatah lagi untuk meningkatkan kualiti dan juga pendapatan.
“Isu keciciran juga sering berkait rapat dengan masalah kemiskinan dan masih lagi menjadi perkara utama di negara,” katanya.
Jelasnya, isu keciciran ini sebenarnya sudah dikenal pasti sejak tahun 1970-an lagi dan kerajaan harus belajar daripada sejarah tentang bagaimana kepimpinan-kepimpinan KPM pada waktu itu cuba menyelesaikan isu keciciran dan sebahagian besarnya adalah isu-isu yang hampir sama juga yang berlaku pada hari ini.
“Bayangkan sudah mencecah 50 tahun berdepan isu keciciran yang disebabkan oleh kemiskinan. Oleh itu, apabila bercakap soal pendidikan berkualiti, kita masih di dalam ruang berhadapan dengan kemiskinan yang mempengaruhi pendidikan.
“Apa yang berlaku di sekolah ketika ini bukanlah soal kualiti yang sedang berlaku tetapi akses kepada pendidikan dan perkara tersebut perlu segera ditangani agar jurang pendidikan tidak semakin melebar,” katanya.
Berdasarkan laporan KPM pada tahun 1972 yang dinamakan laporan jawatan kuasa kajian keciciran yang disediakan oleh Tan Sri Murad Mohamed Noor, sebanyak enam cadangan telah dikemukakan bagi menangani masalah keciciran antaranya pengecualian yuran bagi pelajar miskin, pemberian biasiswa atau dermasiswa, skim pinjaman buku teks dan Rancangan Makanan Tambahan.
“Pada saya, tepat 50 tahun dahulu, kita telah pun mempunyai kajian yang berkaitan dengan keciciran, kita telah mengenal pasti apakah faktor yang menyebabkan keciciran dan kita telah ada solusi atau cadangan yang dikemukakan.
“Tetapi, hari ini kita berhadapan dengan keciciran dan sehingga hari ini tidak ada satu pun laporan keciciran murid yang komprehensif, tiada kajian berkaitan dengan laporan keciciran dan tiada solusi, cadangan yang komprehensif untuk menyelesaikan isu keciciran selepas 50 tahun idea dan cadangan yang dikemukakan oleh pasukan laporan jawatan kuasa Murad pada tahun 1972 dilaksanakan,” katanya. -KOSMO! ONLINE