fbpx

Tak pernah terbayang perkara ini berlaku kepada saya – Siti Kasim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Objek ditemui pada tayar kereta Siti Kasim dipercayai bom jenis IED.

PETALING JAYA – “Saya tak pernah sangka perkara begini akan terjadi kepada saya”.

Itu kata peguam dan aktivis sosial, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim mengenai penemuan objek yang merupakan bom yang ditemui di bahagian tayar kenderaannya semalam.

Siti Kasim berkata, dia tidak menyangka ada individu yang berani berbuat demikian namun bersyukur tiada perkara lebih buruk berlaku.

“Saya tidak mahu memikirkan sangat perkara itu dan serahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.

“Tuhan bantu saya semalam, saya ubah fikiran untuk menghantar kereta ke pusat servis lebih awal sebelum ke Kelantan bagi menyelesaikan isu Orang Asli di sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Katanya, beliau telah memberikan keterangan kepada polis tengah malam tadi dan sudah mendapat semula kenderaannya.

“Perkara pertama yang muncul dalam fikiran saya ketika diberitahu tentang bom itu ialah, dalangnya seorang yang ekstremis.

“Saya tahu ada yang tidak suka saya bercakap mengenai agama, malah mengatakan saya anti-Islam, sedangkan saya lantang menyuarakan tindakan sesetengah individu yang suka menggunakan agama,” jelasnya.

Siti Kasim berkata, dia berharap perkara yang menimpa dirinya semalam membuka mata orang ramai tentang golongan ekstremis yang ada dalam negara kita.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Akta Letupan 1957.

“Setakat ini kes masih dalam siasatan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan polis mengesahkan objek menyerupai bom diletakkan pada tayar belakang kereta milik Siti Kasim dipercayai bom jenis Improvised Explosive Device (IED).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI