Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim, Esteban Solari tekad mahu menambah koleksi piala buat pasukan itu dengan menjulang Piala FA sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
Menurut Solari, para pemain perlu memberi tumpuan penuh ketika berdepan Kuala Lumpur City FC pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim malam ini kerana percaya pasukan kendalian Bojan Hodak itu berupaya melakukan kejutan.
Katanya, pasukannya telah membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi perlawanan ini dan setiap pemain bersemangat tinggi untuk diturunkan beraksi pada perlawanan yang berlangsung di gelanggang sendiri.
”Walaupun JDT mudah menewaskan The City Boys 6-1 pada pertemuan terdahulu, namun ini adalah perlawanan yang berbeza. Kita tidak boleh jadikan kemenangan itu sebagai ukuran sebenar kekuatan lawan, mereka mempunyai pemain yang mampu mengubah keputusan perlawanan.
“Kita telah membuat persiapan untuk ke pentas final bukan seminggu lalu, tapi sejak awal musim lagi bagi memastikan rentak konsisten pemain dapat ditingkatkan dan berada di tahap terbaik,” katanya.
Jelasnya, segala percaturan yang akan dilakukan pasukan lawan termasuklah bermain taktik bertahan akan dipatahkan supaya misi menjulang trofi kedua musim ini tercapai.
“Setiap pemain jelas dengan tanggungjawab masing-masing dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan setelah diturunkan esok. Keazaman yang tinggi ini yang mendorong JDT terus berada di landasan kemenangan.
“Kita menjangkakan mereka akan bermain corak bertahan dan kami bersedia untuk merobohkan benteng mereka itu. Kita akan fokus pada taktikal yang diterapkan sebelum ini bagi menuai kemenangan,” jelasnya.
Ditanya mengenai keadaan Diogo Luis Santo yang dikatakan mengalami kecederaan, Solari memberitahu, perkara itu tidak serius, malah pemain berkenaan sudah mula menjalani latihan bersama skuad utama.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai Arif Aiman Hanapi yang bakal dirantai pemain The City Boys, pengendali kelahiran Argentina itu yakin pemain sayap itu mampu mengatasi kawalan ketat pihak lawan selain menjadi watak penting JDT pada perlawanan final itu.
“Arif seorang pemain yang licik dan mempunyai sentuhan gol, sudah tentu dia akan menjadi perhatian lawan. Saya percaya apapun situasi yang dihadapi, dia mampu meloloskan diri dan beri impak pada pasukan,” ujarnya.