SKUAD ragbi Perak melakukan kejutan pada Kejohanan Ragbi 7 Sebelah (7s) Kebangsaan selepas mengatasi pasukan pilihan dari Selangor di Stadium Ragbi Perak, lewat petang tadi.
Pada perlawanan suku akhir tersebut, skuad kendalian Mohd. Amir Aswad Mat Saad yang menurunkan gabungan pemain muda dan senior itu tampil garang selepas melakar kemenangan 28-15 di laman sendiri biarpun diasak hebat Selangor.
Hasil kemenangan itu, Perak sekali gus menamatkan penantian lima tahun mereka selepas kali terakhir mereka tampil cemerlang pada tahun 2018 iaitu muncul juara keseluruhan pada perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, Amir Aswad menuntut pemainnya kembali fokus selepas mereka akan berdepan lawan yang sukar iaitu Negeri Sembilan esok.
“Saya ingin memberi penghargaan kepada pemain saya kerana mereka bukan bermain dengan aksi 100 peratus malahan tampil dengan semangat 150 peratus untuk perlawanan ini.
“Biarpun seorang pemain kita dilayangkan kad merah dan bermain dengan enam orang pemain pada awal saingan namun, mereka bermain dengan luar biasa.
“Mereka berhempas pulas untuk memastikan kemenangan menjadi milik Perak pada hari ini. Jadi, kemenangan hari ini adalah buat mereka terutama ketika mengatasi pasukan besar seperti Selangor ini,” kata Amir kepada Kosmo!.
Ketika diminta mengulas pertembungan separuh akhir esok, jurulatih Perak itu akan membawa strategi berbeza ketika berdepan Negeri Sembilan untuk memburu tiket ke pentas final.
“Setiap pasukan yang kita jumpa, kita akan membawa strategi berbeza mengikut kesesuaian pasukan lawan. Kita akui pasukan Negeri Sembilan agak baik tetapi ia tidak mematahkan semangat pemain untuk berjuang habis-habisan,”
tambahnya. – KOSMO! ONLINE