SHAH ALAM – Cubaan puluhan pekerja asing sebuah kilang barang lusuh haram meloloskan diri dengan memanjat pagar gagal apabila dicekup polis di Bukit Kemuning di sini, semalam.
Dalam operasi dilakukan pukul 4 petang itu terdapat juga yang mengaku sebagai penuntut universiti awam dan datang ke premis berkenaan untuk menemui rakan.
Serbuan dilakukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Task Force Pejabat Strategik Nasional (NSO) Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, Op Bersepadu Pintas berjaya menahan seramai 52 warga asing termasuk dua wanita berusia lingkungan 22 hingga 45 tahun mengikut Akta Imigresen 1969/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka terdiri daripada 22 warga Myanmar, Bangladesh (16), China (11), Kemboja (2) dan seorang Nigeria.
“Selain itu, dua pekerja bawah umur berusia 16 dan 17 tahun yang disyaki dieksploitasi juga diselamatkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Fadil memberitahu, pihaknya turut menahan enam lelaki warga China berusia 25 hingga 42 tahun yang berperanan sebagai pengurus dan pembantu kilang tersebut.
“Siasatan awal mendapati kilang itu tidak mempunyai lesen perniagaan dan dipercayai beroperasi sejak setahun lalu.
“Kesemua tangkapan direman selama 14 hari sehingga 4 Ogos depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom 2007,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, dua mangsa yang diselamatkan pula telah memperoleh Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama 21 hari sehingga 11 Ogos ini.
“Operasi itu dijalankan bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dan ekploitasi buruh paksa,” katanya. – KOSMO! ONLINE