PETALING JAYA – Peminat Malaysia yang meminati kumpulan rock Britain, The 1975 meluahkan rasa kecewa dengan insiden memalukan artis tersebut pada Festival Good Vibes 2023 semalam.
Tinjauan Kosmo! di Facebook, Instagram dan Twitter rasmi The 1975 mendapati, netizen Malaysia mula menyerang akaun media sosial kumpulan tersebut dengan kata-kata kecaman serta tomahan.
Ia susulan tindakan biadap vokalis, Matty Healy yang mencium gitarisnya, Ross Macdonald di atas pentas ketika persembahan berlangsung.
Sementara itu, pada gambar terbaharu yang dimuat naik di Instagram The 1975 semalam, daripada 13,272 komen yang diterima, lebih 10,000 adalah luahan serta kecaman dalam kalangan peminat dan netizen Malaysia.
“The festival has been cancelled thanks to you, im instantly not a fan anymore (Festival telah dibatalkan dan terima kasih buat anda, saya dengan serta merta bukan lagi peminat anda),” luah @putereeo.
“Disrespectful. Unprofessional. Will never look at this band the same way again. (Tiada hormat. Tidak profesional. Saya tak akan ikuti perkembangan berkaitan kumpulan anda lagi,” kata @daasofia.
“Saya memang peminat anda, sentiasa ikuti perkembangan terbaharu kumpulan The 1975. Tetapi kenapa anda masuk negara kami (Malaysia) tidak study (belajar) budaya dan adab di negara orang. Memang terus saya ‘unfollow’ sekarang juga. Kecewa, sedih,” kongsi @ajeriii.
“Komuniti LQBT nak orang lain hormat cara mereka, tapi mereka sendiri tidak hormat cara dan budaya komuniti lain, memang terus anti kumpulan ini, meskipun dah 10 tahun minat dan follow (ikuti) lagu-lagu mereka ini,” kata Mark.
Terdahulu, persembahan The 1975 dihentikan serta merta selepas Matty menunjukkan beberapa aksi tidak senonoh termasuklah meminum arak, mabuk serta meludah di atas pentas.
Sehubungan itu. Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Jk-Puspal), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berkata pihaknya sudah memutuskan menyenaraihitam The 1975 daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.
Pada masa sama, susulan pembatalan festival muzik tersebut yang masih berbaki sehingga esok, ramai peminat artis lain seperti penyanyi dari Korea Selatan, Lee Hi dan juga kumpulan rock Amerika Syarikat, The Strokes kecewa kerana tidak dapat menyaksikan persembahan penyanyi kesayangan mereka secara langsung di Malaysia. – KOSMO! ONLINE