KOTA BHARU – Seorang lelaki dicekup selepas meninggalkan sebanyak 2,000 biji pil kuda di sebuah kedai makan sebelum cuba melarikan diri dalam kejadian di Jalan Cherang, Kampung Bayam, Lundang di sini, kelmarin.
Lelaki yang berusia 30-an itu ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu kira-kira pukul 11.40 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, semasa serbuan dijalankan, suspek sedang keluar dari kedai makan tersebut dengan memegang sesuatu objek di tangan kanannya.
Menurutnya, lelaki terbabit kemudiannya meletakkan objek tersebut di tepi dinding premis terbabit sebaik sahaja menyedari kehadiran polis.
“Semasa anggota polis menghampirinya, lelaki itu cuba melarikan diri, namun dia akhirnya dapat ditangkap.
“Pemeriksaan terhadap suspek tidak menemui sebarang benda salah. Polis kemudiannya memeriksa objek yang diletakkan di tepi dinding kedai itu sebelum menemui beg plastik hitam yang berisi 10 peket plastik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati, setiap peket itu mengandungi 200 biji pil kuda dengan jumlah keseluruhannya 2,000 biji dengan anggaran berat kasar 200 gram.
Menurutnya, suspek didapati negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Tambahnya, selain pil kuda, polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Viva bersama kunci dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE