SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempunyai masalah jika penilaian risiko terhadap kemudahan dan infrastruktur di semua sekolah dilaksanakan ketika ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penilaian tersebut sebenarnya telahpun dibuat ketika ini dan ia sentiasa berada di bawah pemerhatian kementeriannya.
“Ini (penilaian) juga ada kaitan dengan susulan pengagihan peruntukan sebanyak RM70,000 (yang diberi) kepada sekolah untuk menaik taraf dan menyelenggara (kemudahan tandas) sebelum ini. Jadi, ini memang sangat kena pada masanya.
“Pada masa sama, kita ingatkan (kepada) semua sekolah (agar) kena ambil langkah berhati-hati dalam memastikan keselamatan murid sama ada ketika berada dalam bangunan, kawasan atau premis sekolah dan alhamdulillah, semua proses kerja intervensi telah kita laksanakan dalam proses tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Kolej Vokasional (KV) Insani Masyarakat Madani Pulau Pinang di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Acheh di Nibong Tebal, hari ini.
Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan seorang Exco Negeri Perak sebelum ini agar penilaian risiko terhadap ancaman bahaya persekitaran serta peralatan yang digunakan di sekolah dilakukan dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR).
Saranan itu timbul selepas berlakunya insiden seorang murid Tahun Tiga di sebuah sekolah di Ipoh, Perak yang cedera selepas ditimpa tangki pam tandas yang tercabut dalam kejadian, Selasa lalu.
Mengulas mengenai kejadian pelajar Tingkatan Satu yang maut selepas terjatuh dari bangunan sekolah di Melaka, kelmarin pula, Fadhlina turut menekankan perkara yang sama iaitu keperluan untuk memantau keselamatan murid dan pelajar di sekolah. – KOSMO! ONLINE