fbpx

K2

Kebebasan ruang American Farmhouse

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Berkonsep pelan lantai terbuka, banyak bahagian rumah diasingkan tanpa dinding penghalang.

MEMILIKI sebuah rumah persendirian di sebidang tanah berkeluasan suku ekar dengan pemandangan gunung bagaikan satu kanvas besar buat peminat dekorasi.

Rumah berkeluasan 1,830 kaki persegi yang terletak di Kampung Temenin Baru, Kota Tinggi, Johor itu merupakan milik pasangan Noor Aslina Mohd. Sirat, 45, dan Mohd Hamidon Ardan, 45.

Bagi memanfaatkan keluasan ruang serta pemandangan seluas alam itu, Noor Aslina memilih untuk menerapkan konsep American Farmhouse ke dalam tata hias rumahnya.

Konsep tersebut mementingkan elemen warna-warna neutral dengan sentuhan estetik desa seperti kayu dan tumbuh-tumbuhan pada ruang yang luas.

Menurut pegawai khidmat pelanggan di klinik kesihatan itu, elemen yang paling disukainya dalam konsep American Farmhouse adalah wraparound porch.

“Konsep ini memiliki pelan lantai terbuka. Ini bermaksud tiada dinding penghalang di antara ruang tamu, ruang makan, dapur dan sebagainya.

“Elemen klasik dalam konsep ini adalah wraparound porch iaitu ruang anjung yang mengelilingi hampir keseluruhan luar rumah.

“Ruang ini boleh digunakan untuk bersantai dan merupakan ruang paling saya suka,” katanya kepada K2.

Rumah yang berada di kaki gunung itu memiliki ruang yang sangat terbuka dan berkonsepkan easy access ke seluruh bahagian rumah.

Bahagian ruang tamu, ruang makan, dapur kering dan basah semua dibina di satu ruang yang sama bagi memudahkan komunikasi dalam keluarga.

Penggunaan tumbuhan hijau menambahkan lagi kedamaian kediaman.

Sementara itu, empat bilik, dua bilik air serta ruang dobi dibina di bahagian belakang rumah bagi menjaga privasi tiga orang anak perempuan mereka.

Tambah Noor Aslina, ketiadaan jiran dalam jarak yang dekat membuatkan konsep rumah terbukanya itu selamat dan masih bercirikan privasi tersendiri.

“Ruang dapur saya berada di hadapan rumah. Suami saya sangat suka buat kerja-kerja menjaga binatang ternakan, berkebun dan bertukang di luar rumah.

“Setiap kali saya memasak, saya masih boleh berkomunikasi bersama suami yang sedang melakukan kerjanya di hadapan rumah,” jelasnya.

Menyentuh soal tata hias dalaman, ibu kepada tiga orang anak itu mengakui tidak menggunakan khidmat juruhias dalaman.

Sebaliknya, kesemua dekorasi dilakukan dengan melihat media sosial pemilik farmhouse (rumah desa) dari luar negara dan Pinterest.

Kebanyakan perabot kediaman tersebut dibeli dari IKEA, selain beberapa barang yang direka dan dibina sendiri.

“Hiasan dalaman saya sangat mudah. Saya pilih warna hitam, putih dan krim untuk digabungkan dengan elemen kayu.

“Saya memilih hiasan dalaman dan perabot yang lebih bersifat malar hijau, praktikal dan selesa. Hampir seluruh ruang dalam rumah, saya letak pokok-pokok hidup,” ujarnya.

Kongsinya lagi, ramai yang masuk ke kawasan rumahnya menyangka bahawa rumah tersebut adalah sebuah inap desa.

Tidak terhenti di situ, terdapat sesetengah orang yang memohon agar rumahnya itu disewa bagi penganjuran majlis kerana mereka tertarik dengan pemandangan keseluruhan rumah tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI