LONDON – Beratus-ratus pelajar merusuh di pusat bandar Manchester di Britain selepas sesi persekolahan tamat untuk cuti musim panas, lapor akhbar The Sun.
Anggota polis yang dikerah mengawal lokasi kejadian dilaporkan dibaling telur, manakala perkhidmatan trem dilengcongkan akibat kekecohan pada akhir penggal persekolahan itu.
Gambar di lokasi kejadian memaparkan ramai anggota polis berada di sekitar Market Street dan Piccadilly Gardens. Rakaman kejadian memaparkan sekumpulan murid berkumpul di kawasan itu.
Sebuah restoran McDonald’s terpaksa menutup pintunya buat sementara waktu apabila ratusan remaja berkumpul dengan ada yang membaling telur.
Pemilik-pemilik kedai di bandar itu mengunci pintu dan meletakkan pengawal keselamatan di luar premis supaya melindungi harta benda mereka.
Polis Greater Manchester menasihatkan pelawat yang mengunjungi bandar itu supaya berhati-hati dengan ‘kanak-kanak yang menyebabkan masalah’.
Ahli majlis Manchester, Pat Karney mengecam kejadian itu dan berjanji bahawa mereka yang bertanggungjawab akan dihukum.
“Tindakan itu boleh mencederakan orang ramai. Kami akan memeriksa kamera CCTV dan di dalam trem,” katanya. – Agensi