PUTRAJAYA – Pusat Penyembelihan Ayam Putrajaya (PPAP) yang mula beroperasi pada 15 Julai lalu meneruskan kempen promosi ayam segar serendah RM8.50 sekilogram hujung minggu ini selepas menerima sambutan luar biasa minggu lalu.
Selepas dibuka secara rasmi minggu lalu, pusat penyembelihan yang terletak di Jalan P20A, Presint 20 itu menerima kunjungan penduduk sekitar termasuk dari Dengkil, Cyberjaya, Kajang dan Bangi.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Norzita Abdul Razak ketika dihubungi berkata, pembinaan pusat bertujuan membantu peniaga dan pengguna dalam menangani kenaikan harga barangan runcit terutama harga ayam segar.
Beliau berkata, objektif pusat penyembelihan ini adalah bagi membolehkan bekalan ayam disembelih di kawasan berdekatan dengan kawasan jualan untuk mengurangkan kos pengangkutan sekali gus menyumbang kepada penurunan harga jualan.
“Penyediaan fasiliti pusat sembelihan itu turut dijangka berupaya memastikan bekalan ayam segar kepada peniaga kecil di pasar putrajaya dan juga penduduk putrajaya secara berterusan.
“Pusat penyembelihan ayam berkeluasan 1,419 kaki persegi itu dilengkapi kemudahan Tangki Septik gred A, bekalan elektnk serta air, longkang dan kemudahan lain,” katanya.
Katanya, pusat ini ditengkapi dengan kemudahan mesin-mesin berkaitan penyembelihan ayam yang berupaya memproses sehingga kapasiti 5,000 ekor ayam sehari.
Norzita berkata, kapasiti tersebut dijangka berupaya menampung permintaan ayam segar daripada penduduk Putrajaya dan sekitar dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran semasa. – KOSMO! ONLINE