JAKARTA – Seorang wanita di Bekasi ditahan Unit Siasatan Jenayah Polis Semarang kerana menjual bayinya pada harga 30 juta rupiah (RM9,095), lapor laman berita Suara.com.
Suri rumah dikenali sebagai HI, 29, itu nekad menjual darah daging sendiri di laman Facebook kerana mempunyai hutang loteri online.
HI pergi ke Samarang untuk bertemu seorang pembeli wanita dari Demak, Jawa Tengah.
Perbuatannya terbongkar apabila suami HI bertanyakan keberadaan anak keempat mereka yang baru berusia 14 hari.
Ketua Badan Kependudukan dan Perancang Keluarga Negara (BKKBN), Hasto Wardoyo berkata, kes itu mendedahkan hakikat bahawa suami isteri berkenaan tidak bersedia untuk membina rumah tangga.
Hasto mengesyaki punca bayi itu dijual kerana keluarga terbabit belum bersedia dari segi mental dan masih belum mencapai keadaan ekonomi yang stabil.
Satu lagi sebab yang menyebabkan dia memilih untuk menjual anaknya berpunca daripada kekurangan perancangan yang betul dalam membina keluarga. – Agensi