BAYAN LEPAS – Hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu selari bagi memastikan sebarang urusan pentadbiran serta pertumbuhan ekonomi secara langsung akan memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia juga penting bagi memastikan apa sahaja isu berkaitan ekonomi tidak dipolitikkan sekiranya hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak selari.
Katanya, sebagai contoh adalah lebih mudah untuk kerajaan pusat membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang kerana ia agak matang serta mempunyai infrastruktur yang baik serta mempunyai rekod dan rangkaian global yang tersendiri.
“Jadi adalah lebih mudah untuk membina kekuatan dan membawanya (ekonomi Pulau Pinang) ke peringkat seterusnya.
“Untuk itu, ia memerlukan kerjasama yang sangat erat antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat kerana tiada siapa yang boleh melakukannya sendiri, kerajaan negeri tidak boleh melakukannya sendiri dan Kerajaan Pusat tidak boleh melakukannya tanpa kerjasama negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Rafizi menghadiri sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (SLU KSP RMKe-12) bersama kerajaan negeri Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, berbeza dengan Kedah, kerajaan pusat dan kerajaan negeri itu mempunyai pandangan yang berbeza dalam soal ekonomi negeri berkenaan.
“Kami mempunyai pandangan berbeza seperti projek lapangan terbang kargo, di mana ia tidak berdaya maju dari segi ekonomi. Mereka (kerajaan negeri) mahu mendapatkan sokongan politik, jadi mereka tidak peduli sama ada ia (projek lapangan terbang kargo) ini berdaya maju atau tidak.
“Bayangkan jika di Pulau Pinang kita berbeza kerajaan maka semuanya akan dipolitikkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE