PETALING JAYA – Orang ramai mengecam tindakan jelik dan kurang sopan yang dilakukan oleh vokalis kumpulan The 1975, Matt Healy semasa melakukan persembahan di Good Vibes Festival, Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi.
Menurut video yang tular di laman sosial, Matt Healy dikatakan telah membuat persembahan sambil memegang botol arak sebelum bertindak menghina undang-undang negara mengenai isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Lebih mengejutkan, vokalis kumpulan tersebut juga telah bertindak mencium gitaris, Ross MacDonald sebagai protes terhadap undang-undang anti-gay Malaysia.
Menurut menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, penganjur konsert berkenaan akan dipanggil untuk memberi penjelasan, hari ini.
“Ini merupakan tindakan yang sangat biadab. Saya juga akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk dapatkan laporan penuh,” katanya menerusi satu hantaran di laman Twitter.
Menurut penganjur konsert tersebut, persembahan oleh The 1975 terpaksa dihentikan disebabkan tindakan kurang sopan oleh ahli kumpulan tersebut.
“Bagaimanapun, konsert pada hari Sabtu dan Ahad akan tetap dijalankan seperti dijadualkan,” kata Good Vibes Festival dalam sebuah kenyataan media.
Tambah penganjur, untuk menebus kekecewaan pengunjung, mereka yang datang pada hari Jumaat kini boleh menghadiri festival tersebut sama ada pada hari Sabtu atau Ahad.
Meninjau di ruangan komen, ramai peminat kecewa dengan tindakan The 1975 yang umpama ‘menutup pintu’ bagi konsert-konsert oleh artis antarabangsa lain pada masa akan datang.
“Terima kasih The 1975, lepas ini tidak ada lagilah konsert ‘international’ di negara kita,” kata Dini.
“Apa yang berlaku di Good Vibes semalam bukanya ‘ikonik’. Tindakan tersebut sangat biadab dan seakan-akan menghina peminat. Saya sangat kecewa,” kata seorang pengguna.
“Memang artis antarabangsa yang datang Malaysia ni tak ada adab ke?,” kata Sandra.
Persembahan oleh The 1975 semalam telah dihentikan 30 minit lebih awal sebelum vokalisnya meninggalkan pentas sambil berkata ‘selamat tinggal, kami telah diharamkan daripada membuat persembahan di Malaysia’. – KOSMO! ONLINE