fbpx

Gerakan persoal papan iklan Malaysia Madani di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Andrew (dari kiri) menunjukkan papan iklan Malaysia Madani yang dikesan dipasang di sekitar Bukit Jambul.

BALIK PULAU – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Pejabat Daerah dan Tanah menjelaskan kemunculan papan iklan yang memaparkan perkataan Malaysia Madani di negeri ini, baru-baru ini.

Selain perkataan Malaysia Madani pada iklan berwarna merah itu, potret Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut sama dilihat dipaparkan pada papan iklan tersebut.

Ketua Pasukan Media Sosial Gerakan Negeri, Andrew Ooi Ghee Oon berkata, sejak kebelakangan ini, banyak papan iklan itu telah dipasang di seluruh Pulau Pinang termasuk 19 papan iklan dikesan dipasang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak.

“Adakah Perdana Menteri tahu bahawa papan iklan yang memaparkan potretnya kini boleh dilihat di seluruh Pulau Pinang?

“Disebabkan itu, kami meminta kerajaan negeri Pulau Pinang, MBPP, SPR dan Pejabat Daerah dan Tanah untuk menjelaskan keadaan berhubung papan iklan ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Andrew, beliau masih ingat bahawa pada bulan April lalu, Anwar telah mengarahkan pemasangan papan iklan baharu yang memaparkan wajah dirinya dan Malaysia Madani yang menggunakan peruntukan kerajaan dihentikan serta-merta.

“Anwar pada masa itu menyatakan beliau tidak setuju papan iklan ‘Malaysia Madani’ dan potretnya digunakan pada papan iklan, dan beliau menyatakan bahawa dana yang digunakan untuk papan iklan tersebut boleh digunakan dengan cara yang lebih baik.

“Jadi keadaan pada masa ini jelas bertentangan dengan kenyataan dan arahan Perdana Menteri sebelum ini.

“Oleh itu, kami ingin bertanya organisasi manakah yang mendirikan papan iklan ini, berapakah bilangan papan iklan yang telah dipasang di negeri ini dan adakah kesemuanya telah mendapat kelulusan rasmi untuk pemasangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI