MELAKA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Kejohanan Karate Asia Ke-19 dan Kejohanan Karate Para Asia Kedua di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.
Seri Paduka tiba pada pukul 4.28 petang sambil diiringi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim.
Al-Sultan Abdullah ketika merasmikan kejohanan tersebut bertitah, mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur.
“Saya kagum dengan persiapan, tahniah dan syabas kepada penganjur Persatuan Karate Malaysia, saya berdoa supaya ahli karate Malaysia akan berjaya dan saya harap orang Melaka akan terus bagi sokongan kepada atlet karate Malaysia,” titah Seri Paduka.
Sebagai simbolik perasmian, Al-Sultan Abdullah memukul gendang sebanyak enam kali tanda perasmian.
Sejurus selepas itu, Seri Paduka turut berkenan menyaksikan perlawanan akhir Acara Kata Wanita.
Seramai 388 atlet dari 32 negara termasuk penyandang juara keseluruhan di Uzbekistan tahun lalu iaitu Jepun bersaing pada Kejohanan Karate Asia Ke-19 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.
Kejohanan Para Karate Asia Edisi Kedua juga berlangsung serentak sempena Kejohanan Karate Asia Ke-19. – KOSMO! ONLINE