TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi peranan untuk membangunkan kurikulum baharu bagi program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) peringkat tinggi berteraskan pengamalan pendigitalan termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua sedia maklum bahawa program-program TVET peringkat tinggi memerlukan penggunaan peralatan serta mesin yang menelan belanja besar untuk diperoleh.
“Perlu dibangunkan cara dan pendekatan untuk mengajar (subjek TVET peringkat tinggi). Saya telah meminta UPSI melihat kepada penggunaan AI dan sebagainya untuk membolehkan politeknik dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menawarkan program-program TVET lebih tinggi.
“Mungkin (UPSI) perlu berunding dengan MTUN dan politeknik, bidang-bidang apa yang baharu dan boleh ditawarkan. Jadi (peringkat) sekarang ini tak perlu melibatkan pembelian mesin, ini semua kita lakukan secara mutual dan juga menggunakan AI,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pewujudan subjek-subjek TVET peringkat tinggi oleh UPSI itu kelak membolehkan negara menawarkan program berkenaan di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, Mohamed Nordin memaklumkan bahawa beliau telah meminta UPSI untuk terus menghasilkan graduan yang mahir dalam bidang TVET sekali gus menjadi tenaga pengajar dalam bidang berkenaan. – KOSMO! ONLINE