fbpx

Thailand buntu pilih Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pita dirakam meninggalkan dewan sambil memberi isyarat menggunakan tangan kiri selepas digantung sebagai Ahli Parlimen kelmarin. - AFP

BANGKOK – Kegagalan pemim­pin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat untuk menjadi Perdana Menteri Thailand sele­pas majoriti anggota Parlimen menolak mengadakan sesi undian kedua menyebabkan usaha membentuk kerajaan menemui jalan buntu, lebih sebulan pilihan raya umum diadakan.

Pita, 42, turut digantung sebagai anggota Parlimen secara tiba-tiba semasa menghadiri sidang Parlimen kelmarin mengenai pencalonannya. Beliau kemudian meninggalkan dewan sambil ­melambai dan disambut oleh sorakan sebilangan anggota Parlimen yang lain.

Di luar bangunan Parlimen, berpuluh-puluh penyokong Pita menangis dan memaki hamun pasukan polis rusuhan yang berkawal selepas berita penggantungan Pita tersebar.

Perkembangan itu menyaksi­kan Parti Pheu Thai berada da­lam kedudukan utama untuk membentuk kerajaan baharu selepas Parlimen menolak usul mencalonkan semula Pita menjadi Perdana Menteri dengan memetik peraturan mesyuarat.

Selepas lebih tujuh jam perbahasan sama ada Peraturan No. 41 itu boleh dikuatkuasakan terhadap pencalonan semula Pita, majoriti termasuk ahli parlimen dan senator mengundi untuk menyokong peraturan tersebut.

Peraturan itu melarang usul yang telah ditolak oleh sidang Parlimen daripada dikemukakan semula pada sesi yang sama.

Mereka berhujah bahawa usul sebelum ini berhubung pencalonan Perdana Menteri telah ditolak oleh Parlimen pada 13 Julai lalu apabila Pita gagal mendapat undi majoriti yang diperlukan dalam pusingan pertama.

Semua mata kini tertumpu sama ada parti Pheu Thai akan kekal sebagai sekutu MFP di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang mereka tandatangani atau berusaha membentuk gabungan alternatif dengan membawa masuk parti lain dan mengecualikan MFP.

Parti Bhumjaithai, Palang Pracharath dan Chartthaipattana menentang rancangan MFP meminda Seksyen 112 Kanun Jenayah (lese majeste) yang mengenakan hukuman berat terhadap sesiapa didapati bersalah menghina monarki Thailand.

Ketiga-tiga parti itu bertekad tidak akan menyertai mana-mana kerajaan campuran sekiranya MFP adalah sebahagian daripadanya.

Pemimpin Pheu Thai, Cholnan Srikaew berkata: “Pada masa ini, Pheu Thai masih berganding bahu dengan sekutu gabungan lain. Sama ada MoU itu akan disemak semula, saya belum boleh memberikan butiran lagi kerana lapan sekutu gabungan mesti membincangkan perkara ini.”

Cholnan juga memaklumkan bahawa Speaker Dewan Rakyat, Wan Muhamad Noor Matha telah menjadualkan pusingan seterus­nya undian memilih perdana menteri pada Khamis depan.

Pheu Thai berkata, parti itu harus diberi peluang untuk menamakan calon Perdana Menterinya sendiri untuk pusingan pengundian seterusnya se­le­pas penamaan semula Pita ditolak.

Sumber itu berkata, Pheu Thai kini mendapat sokongan yang mencukupi daripada Bhumjaithai, Palang Pracharath dan Chartthaipattana dengan jumlah gabungan 282 anggota Parlimen untuk membentuk kerajaan yang stabil. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI