PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pembantu kepada pemilik syarikat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira pukul 10 malam semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 24 Julai depan telah dikeluarkan Majistret M. Mageshwary kepada suspek selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.
Dalam pada itu, di mahkahmah sama, SPRM turut mendapat kebenaran menyambung reman seorang suspek wanita yang juga pengarah syarikat selama dua hari hingga Ahad ini.
“Wanita tersebut sebelum ini direman selama tiga hari sehingga hari ini, manakala Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang turut direman telah dibebaskan pagi tadi,” katanya kepada Kosmo! tadi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, kedua-dua suspek utama itu ditahan reman SPRM bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa sektor perlombongan berjumlah lebih RM13 juta.
Difahamkan, aktiviti perlombongan yang dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat terlibat mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak tahun 2020.
“Sehubungan itu, hasil siasatan dijalankan berjaya mengesan bahawa beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta diberikan syarikat terlibat sebagai sogokan melindungi kegiatan perlombongan haram antara tempoh 2020 hingga 2023.
“Selain itu, syarikat milik wanita itu dipercayai mendapat kelulusan menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen sekitar Kedah sejak 2016 lagi,” jelas sumber tersebut. – KOSMO! ONLINE